Home Event Calendar Dance Unit Drama & Music Unit Literature Unit Recreation Unit Gallery Contact Us
 
 
   PROFIL
   
   
   
   
 
   
   
MENGENAI PS
 
 
MISI
Dengan penubuhannya pada tahun 8 Julai 1956 Perkumpulan Seni telah ditubuhkan atas dua sebab:

1. Mengalirkan perkembangan kebangsaan dalam kesenian Melayu, seni lakon (drama), seni muzik, seni suara, seni tari, seni sastera, seni lukis, seni ukir dan lain-lainnya.

2. Memelihara keaslian dalam seni kebangsaan Melayu.
 
PERKUMPULAN SENI
Perkumpulan Seni (PS) bergerak dalam semua bidang yang menjadi lapangan kegiatannya. Oleh kerana kemampuan pelaksanaannya terbatas, maka kegiatan-kegiatan di bidang drama, tarian dan muzik ternyata lebih menonjol.

PS juga mendampingi masyarakat pada peringkat awal usianya bila ia turut menyertai Kongres Kebudayaan Melayu I yang diadakan di Melaka pada 30.12.1957 hingga 2.1.1958.

Kegiatan PS, terutama dalam pementasan pada peringkat awal sering diadakan bersama dengan beberapa buah badan lain seperti Sriwana, Badan Kesenian dan Sastera Tentera Melayu (BKSTM), Perseni (Kuala Lumpur) dan beberapa buah badan lagi. Kesediaan seperti ini telah menjadi sebahagian hasrat PS dalam menjalinkan hubungan sesama pertubuhan seni, PS juga bekerjasama dengan badan-badan lain seperti Majlis Pusat, Kelab Gunung Sayang dan Persatuan Rakyat di samping mempergiatkan bidang kesenian ini.
 
Pementasan “Ribut” (drama Cina) pada tahun 1959 dan “Rashomon” (drama Jepun) pada tahun 1971 adalah di antara beberapa persembahan yang menempatkan PS sebagai sebuah badan drama yang serba boleh. Kemudian dengan “Hamlet” pada tahun 1980, PS mengekalkan kemampuan serta meningkatkan perhatiannya ke arah perkembangan seni yang bermutu dan serius. Kini, PS telah mementaskan kira-kira lebih dari 70 buah drama berbagai corak. Antaranya “Lela Satria” (1960), “Corak Dunia” (1962), “Wak Cantuk” (1973), “Kacip Emas” (1974), “Atheis” (1977), “Desa Ini Hatiku” (1980), “Sang Rajuna Tapa” (1981) dan “Sang Anak” (1968), “Di Bawah Lindungan Kaabah” (2002) dan “Berdosakah Aku?” (2004)“.

Pada peringkat awal dulu PS juga telah bergiat dalam bidang seni lukis. Tetapi kegiatan ini dirasakan lebih sesuai dilaksanakan oleh Angkatan Pelukis Aneka Daya, sebuah pertubuhan pelukis Melayu yang tunggal di Singapura yang ditubuhkan pada tahun 1962 maka PS tidak bergiat lagi dalam bidang ini. Namun PS turut memberikan kerjasamanya seperti menganjurkan bersama (Malay Art Gallery – PS & APAD) pameran “Mata dan Hati” pada tahun 1972.

Beberapa buah buku terbitan PS yang antaranya ialah “Songsang” oleh Jamal Ismail (1984), “Desa Ini Hatiku” oleh A Ghani Hamid (1985), “Terlalu Ramai Orang Di Sini” oleh Sapiee Ahmad Razaly (1988), “Fragmen 40” oleh A Ghani Hamid dan lain-lain lagi.

Kegiatan lain yang dianjurkan oleh PS dari semasa ke semasa termasuklah berbagai-bagai kursus dan bengkel seni, majlis-majlis perbincangan dan forum mengenai kegiatan PS dan kesenian umum.

Semua kegiatan PS adalah dirancangkan oleh Seksi-Seksi Drama, Tari, Muzik dan Sastera dengan pelaksanaan seluruhnya bersama.

Bantuan yang diterima dari beberapa buah yayasan termasuk Yayasan Lee, Yayasan Budaya Singapura dan juga Kementerian Kebudayaan dan kemudian Kementerian Pembangunan Masyarakat serta para dermawan yang ikhlas telah memberikan tenaga yang mendorong kepada PS di samping khidmat sukarela anggotanya.

Anggota muda PS juga mengorak langkah dengan mengikuti Majlis Belia Kebangsaan (NYC) dalam acara Kapal Belia Asia Tenggara pada tahun 1987 yang disertai oleh Normala Osman, kemudian diikuti Zaharian Osman (1988), Norhayati Abdul Rahman (1989), Ramlan Rasidi (1991), Norindah Ariffin (1994), Chairul Fahmi Huzaini (1996), Fauziah Ibrahim (1997), Zarina Munaris (1997), Nasri Lamri (1997), Maliha Mohd (1999) dan Farah Alfalaila (2000).
 
“Tidaklah keterlaluan agaknya kalau saya katakan bahawa Perkumpulan Seni merupakan segelintir pertubuhan yang masih hidup bernyawa hingga hari ini, walaupun banyak yang lain, yang sebaya dan semula dengannya, telah lama mengundurkan diri”.
 
Demikian yang ditulis oleh Hussein Jahidin (Buku Cenderamata “Malam Seni” 15 Februari 1975).

Meskipun kini tidak ternyata menonjol seperti dalam tahun-tahun 1960an dan 1970an, kegitan seni muzik sering dijalinkan dengan kegiatan seni tari dan drama secara tidak langsung. Pada peringkat awal usia PS, khidmat Zainal Abas, Manaf Rashid, Pak Malim, Hashim B dan lain-lain termasuk Wahid Abdullah dengan kumpulan angklung telah turut menjadi dasar kegiatan kesenian PS.

Kegiatan PS selama ini telah dan tetap memerlukan kecergasan dan kecekapan para pemimpin dan anggotanya. Mereka juga telah memberikan sumbangan yang berharga kepada PS. Walaupun nama-nama mereka tidak disebut atau dipaparkan setiap dari mereka itu, tetapi sumbangan mereka sentiasa dihargai dan kami merakamkan setinggi-tinggi ucapan TERIMA KASIH.

(Sumber – ALBUM 33)
 
   
 
 
Design by Fat Apple Studios